Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Sebagai seorang jurujual, korang mesti dah biasa ada target untuk capai setiap bulan. Biasanya target yang korang buat mestilah berdasarkan berapa banyak untung yang korang mahukan pada bulan tersebut.
Untung yang dimaksudkan di sini adalah selepas kita sudah mengira segala kos-kos yang terlibat bukan sahaja dari segi kos pembuatan produk (jika ada) dan sebagainya tetapi juga kos pemasaran dan segala kos yang digunakan untuk pelanggan mendapatkan satu jualan produk atau servis dari korang.
Kos-kos Tersembunyi
Sebagai contoh, biasanya kita terlepas pandang untuk mengira kos-kos yang tidak nampak seperti duit minyak, duit tol, duit belanja makan pelanggan dan seangkatan dengannya. Oleh itu, sebagai jurujual kita perlu peka dengan kos-kos sebegini supaya kita dapat kiraan untung yang sebenarnya supaya kita tidak berbelanja lebih di kemudian hari.
Aku juga pernah terlupa untuk mengira kos-kos tersembunyi ini disebabkan terlalu fokus pada bilangan produk yang terjual. Dulu aku cuma kira untung kasar dan tidak pada untung bersih. Impaknya menyebabkan modal yang sepatutnya digunakan untuk pemasaran, tidak dapat digunakan semula pada bulan yang mendatang.
Fikir Seperti Usahawan
Ini antara kesilapan ramai jurujual pada awalnya. Guru bisnes aku selalu berpesan untuk tidak berfikir seperti bekerja walaupun berstatus jurujual, fikirlah seperti Usahawan yang mengendalikan syarikatnya sendiri. Gaji yang diambil perlu datang dari keuntungan bersih bukan dari komisyen jualan yang aku dapat.
Jurujual haruslah set target jualan bulanan dengan mengira segala kos yang ada. Pastikan target itu realistik dan boleh dicapai. Jika perlu pemasaran yang berbayar, pastikan kita ada modal yang bagus untuk bermula dan meneruskannya. Jika tidak pemasaran itu terpaksa diulang semula.
Ini satu kerugian yang besar kerana kos pemasaran pada mulanya agak sedikit mahal. Tetapi semakin lama semakin berpatutan kerana pemasaran tersebut telah memberikan pulangan yang lumayan dan menaikkan jenama jurujual tersebut. Jika korang belum mampu untuk lakukannya, gunakan pemasaran percuma yang ada.
Set Target Yang Betul
Oleh itu pastikan korang set target yang betul dan cuba kirakan kos tersembunyi. Cara paling mudah aku gunakan adalah dengan menulis di dalam buku apa yang aku belanjakan setiap kali aku berjaya mendapat jualan dari pelanggan.
Aku kira sehingga sebatang pen yang aku berikan kepada pelanggan walaupun harganya tak sampai RM1. Bukan sebab kedekut, tetapi aku perlu tahu berapa keuntungan bersih dari satu pelanggan dan dalam masa sama aku boleh dapat kiraan berapa nilai kos satu pelanggan.
Selamat mengira dan set target bulanan dengan cara yang efektif dan efisien.