Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Hari ini adalah hari sambutan buat guru-guru atau pendidik di seluruh Malaysia. Aku pasti korang dah ucapkan dan doakan guru-guru korang. “Guru Ibarat Lilin, Membakar Diri Menerangi Yang Lain” Pepatah ini sesuai dengan pengorbanan yang mereka telah curahkan kepada anak murid.
Dari kita lahir hingga sekarang, pasti ada orang yang pernah mengajar kita. Tidak kiralah secara formal atau tidak formal. Kita tahu akan sesuatu ilmu dengan belajar. Untuk belajar, kita perlukan guru. Tipulah yang kita ini tahu atau pandai tanpa bantuan guru.
Pesan Guru
Aku selalu ingat pesan guru-guruku untuk sampaikan ilmu kepada insan yang lain walaupun sedikit. Kerana sedikit itu, mungkin banyak bagi orang lain. Dan guru aku berpesan juga untuk belajarlah dengan sesiapa pun asalkan ianya bermanfaat buat diri kita.
Sebagai pengajar, aku amat faham perasaan seorang guru. Kadang-kadang guru dilupakan selepas ilmu sudah dipelajari. Ibarat habis madu, sepah dibuang. Tapi inilah kelebihan guru, bila seorang pelajar sudah meninggalkannya. Ada pelajar yang baru akan datang kepadanya.
Guru Terus Memberi
Ilmu yang diberikan kepada anak murid harus diteruskan. Bila seorang guru terus memberi, insyaAllah makin banyak ilmu yang dipelajari. Makin bijak seseorang guru itu ialah dengan belajar dan mengajar. Ianya kerana guru itu lebih faham akan sesuatu. Inilah matlamat seorang guru, memberi ikhlas tanpa balasan.
“Those who know, do. Those that understand, teach.”
― Aristotle
Sempena hari guru ini, aku ingin mendoakan guru-guru aku termasuk korang yang sedang membaca entri ini dengan doa berikut;
Ya Allah, tutupilah aib guru kami dari kami, dan jangan Engkau hilangkan berkah ilmunya dari kami.
Ya Allah, Engkau kurniakanlah syurga buat guru-guru kami. Sesungguhnya mereka tidak pernah berkira akan ilmu mereka dengan kami.
Ya Allah, berikanlah hidayah kepada kami untuk manfaatkan ilmu yang dipelajari dan terus menyampaikan kepada mereka yang ingin belajar dengan kami.
آمِيْن يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ
Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru dan pengajar kepada umat manusia.