Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Setiap hari ada sahaja perkara baru yang akan kita pelajari. Tidak kira sama ada kita belajar secara langsung atau tidak langsung. Kadang-kadang ada sesuatu perkara berlaku, dan kita belajar dari perkara tersebut. Sama ada baik atau buruk, pasti ada pengajarannya.
Sebelum ini aku tak sedar apa yang aku tahu tidak sama dengan apa yang orang lain tahu. Aku rasa mereka lebih tahu dari aku dan sebaliknya. Semakin aku dewasa, aku semakin sedar banyak yang aku tidak tahu apabila aku sering ke majlis ilmu bisnes, program pembangunan diri dan macam-macam kelas lagi.
Hal ini membuatkan aku terpanggil untuk mengajar dan belajar selagi mana aku mampu. Setiap hari aku mencari seorang ejen di dalam pasukan jualan yang aku ketuai untuk mengajar ilmu yang aku ada. Jika tiada yang kelapangan, aku berkongsi dengan orang lain yang memerlukannya.
Ilmu Tak Pernah Habis
Guru aku pernah berpesan jika kita memberi wang kepada orang, ianya akan habis. Akan tetapi jika memberi ilmu atau berkongsi pengalaman kita, ianya tidak pernah habis malah ianya bersambung selagi mana ilmu itu dipraktikkan dan diajar kepada orang lain.
Perkongsian ilmu tidak pernah habis. Ianya satu aset yang ada pada semua manusia. Kongsikanlah ilmu yang kita ada selagi mana yang boleh. Jika kita simpan, takut satu hari nanti tiada orang yang tahu apa yang kita tahu.
Semoga kita semua sentiasa belajar dan terus mengajar tidak kira sekecil cara minum air yang betul kerana ianya mungkin memberi manfaat yang besar buat orang lain.
Selamat berkongsi ilmu sesama insan dan semoga apa yang kita kongsi itu menjadi kesinambungan amalan kita.