Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera…
Aku ingin mulakan entri ini dengan hadiahkan Al-Fatihah buat sahabat dan salah seorang ejen jualan dalam team Coway aku, Fendi Hanafi.
Hari ini beliau telah pulang ke rahmatullah. Aku terkejut dan amat sedih sebab aku rasa baru lagi juga sembang dengan dia. Walaupun tak lama seperti biasa, tapi aku sangat gembira masa tu yang beliau semakin sihat dan mula datang ke pejabat.
Tapi Allah SWT lebih tahu, Dia lah Maha Pencipta dan kepada Dia kita akan kembali. Dan hari ini tiba masanya Fendi dijemput ilahi. Alhamdulillah ramai manusia yang hadir ketika solat jenazah dan pengebumian beliau siang tadi.
Bila aku melihat anak beliau di tanah kubur, aku teringat betapa hebatnya seorang Ayah yang berjuang habis-habisan untuk kesihatan anaknya. Macam-macam cara yang mereka usahakan.
Masa mula-mula beliau masuk ke Coway dulu, kami ada buat tabung khas untuk anaknya menjalankan pembedahan. Kutipan tak lah sebanyak yang kami harapkan. Allah SWT juga lah yang sebaik-baik penyusun.
Pembedahan berjalan lancar. Anak makin sihat. Tapi ada cabaran yang perlu Fendi dan isterinya selesaikan. Mereka tak pernah jemu dan sentiasa ikhtiar yang terbaik buat anaknya. Aku salute dengan kegigihan mereka!
Hari ini aku tahu pemergian beliau akan dirindui oleh ramai orang. Kerana beliau insan yang disayangi. Semoga kau damai di sana sahabatku. Kami pasti akan menyusul satu hari nanti.
Aku berdoa agar kau sentiasa dilindungi oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin. Salam Takziah kepada keluarga Fendi Hanafi.