Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Aku pasti hari ni ramai yang sedang menyambut hari ibu di seluruh dunia. Ada yang buat ucapan di media sosial dan di dalam bentuk teks di group whatsapp dan sebagainya.
Tapi ianya masih tidak cukup untuk kita ungkapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada ibu kita. Sepertimana yang kita semua tahu dan dengar “Syurga di bawah tapak kaki ibu…”
Hargai Jasa Ibu
Apa benar kita betul-betul menyanjung ibu kita dan hargai jasa mereka dari mula mereka mengandungkan kita sehingga saat bertarung nyawa melahirkan kita.
Tatkala kita sedang membesar, ibu memberikan yang terbaik untuk memastikan anaknya sentiasa dijaga rapi. Cukup pakai dan makan. Biarlah ibu tidak makan, yang penting anaknya.
Tiada Nilai Selain Syurga
Sampai sekarang aku masih belum lagi dapat balas segala jasa ibuku. Dan aku pasti walaupun aku dapat beri segala apa yang aku mampu, jasa ibuku tidak akan terbalas. Kerana tiada nilai selain syurga Allah untuk ibu.
Sekarang aku punyai isteri dan ibu mertua. Melihat mereka bertugas sebagai seorang isteri dan ibu membuatkan aku mengalir air mata setiap kali mereka dalam kepenatan dan keletihan.
Aku bersyukur mendapat isteri Sheemi Mayanti dan ibu mertua Zuriah Md Said. Keduanya sangat baik kepadaku dan anak-anakku. Betul lah kata orang, kita akan usaha untuk berkahwin dengan wanita yang bersikap seakan ibu kita.
Mereka tidak pernah mengadu dan sentiasa berusaha untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik. Aku semakin faham kenapa Mama dahulu tegas bila perlu dan lembut ketika aku perlu bermanja dengannya.
Tunggak Hidup
Mama, kaulah tunggak hidupku. Tanpamu, aku hanyalah sehelai kain buruk yang kotor. Kau banyak mengajar erti kehidupan di saat aku bodoh. Kau ajari aku erti kesabaran melayan manusia di dunia ini. Kau tidak pernah jemu menasihati tanpa balasan.
Hari ini aku berdoa di bulan Ramadan yang mulia ini agar Mama @Halijah Endin terus diberkati dan diangkat darjatnya di sisi Allah SWT. Selagi aku masih hidup, aku akan terus mendoakan yang terbaik untuk Mama.
Ya Allah, kau kasihilah Mama seperti mana dia mengasihi aku dan adik-beradikku dari dahulu hingga sekarang.
Ya Allah, kau kasihanilah Mama seperti mana dia mengasihani aku dan adik-beradikku dari dahulu hingga sekarang.
Ya Allah, kau tempatkanlah Mama di Syurga Firdaus bersama para solehah. Sesungguhnya Kau lah Maha Penyayang dan Kau lah Maha Pemberi.
Amin amin ya robbal alamin.