Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Sudah lama aku tak berjumpa dengan pelanggan yang jenis teknikal. Dalam bidang jualan penapis air yang aku ceburi ini, tidak ramai pelanggan yang jenis teknikal.
Ramai pelanggan yang lebih ingin tahu apa promosi terkini dan bagaimana untuk sewa atau beli penapis air yang aku jual. Mereka lebih suka jika aku hanya memberi pilihan yang sesuai untuk penggunaan di rumah serta mengikut budget bulanan mereka.
Berjumpa Dengan Pelanggan Jenis Teknikal
Baru-baru ini aku telah berjumpa dengan pelanggan yang jenis teknikal. Atau erti kata lain, pelanggan ingin tahu pelbagai maklumat selain dari promosi. Pelanggan jenis ini memang sangat suka informasi sehinggakan mereka telah buat kajian sendiri berbulan-bulan malah ada yang bertahun.
Sebenarnya mereka inginkan maklumat lengkap dari jurujual sebelum membuat pembelian. Mereka akan berjumpa dengan seramai jurujual yang mungkin sehingga mendapat kepastian. Selagi tiada jurujual yang dapat memuaskan hati, selagi itu mereka akan mencari.
Kebetulan sahaja aku berjumpa dengan pelanggan ini di showroom di bawah pejabat aku di Taman Tun Dr. Ismail KL. Ketika itu aku ingin ke tempat letak kereta untuk mengambil anak pulang dari sekolah.
Oleh kerana tiada jurujual lain waktu itu, aku terus melayani pelanggan tersebut. Setelah selesai 45 minit kami berbual, pelanggan bersetuju untuk membeli tetapi waktu itu kaunter pembelian telah pun tutup.
Jumpa Sekali Lagi Kali Kedua
Hari Isnin yang lepas, aku berjumpa semula dengan pelanggan. Kami berbual sekali lagi untuk memastikan semua informasi masih sama dan soalan yang ditanya sebelum ini aku dapat jawab tanpa ragu-ragu.
Selepas selesai sesi soal jawab yang kedua, pelanggan bersetuju untuk membeli dan memberi dokumen yang diperlukan. Aku pun mengisi borang untuk membuat pembelian buat pelanggan.
Dari raut wajah pelanggan, aku nampak kepuasan ketika itu. Aku boleh rasakan yang dia gembira dengan pembelian tersebut. Kami keluar dari showroom dan pelanggan mengajak aku untuk minum kopi bersama beliau.
Aku terkejut, tetapi ikutkan juga kerana aku tahu ianya hasil dari aku “tackle” hati pelanggan. Begitulah pengakhirannya, pelanggan berpuas hati dengan servis yang aku berikan. Aku juga gembira apabila melihat pelanggan pulang dengan senyuman dan tidak sabar untuk tunggu hari pemasangan penapis air di rumahnya.
Selesaikan Masalah
Kesimpulannya; untuk tackle hati pelanggan, kita perlu mendapatkan segala fakta yang penting untuk kita bantu pelanggan menyelesaikan masalah mereka sebaik mungkin. Kadang-kadang kita terlalu gelojoh untuk dapatkan jualan sehingga terlupa asas jualan iaitu menyelesaikan masalah pelanggan.
Pesan guru jualan aku; apabila kita lebih banyak mendengar masalah pelanggan, peluang untuk mereka membeli akan jadi lebih tinggi.
Selamat memenangi hati pelanggan dengan menyelesaikan masalah mereka.