Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Mesti korang tengah bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini kan? Ada yang beraya di kampung dan ada yang beraya di bandar Kuala Lumpur macam aku ini di hari yang pertama. Dan hari yang seterusnya pergi beraya di halaman kampung ibu bapa mereka.
Apa-apa pun aku pasti semuanya bersyukur dengan nikmat Allah SWT berikan kerana negara Malaysia aman sentosa dari peperangan dan musibah yang berat seperti negara lain. Dengan pakaian yang serba cantik, makan dan minum yang lazat dan boleh katakan semuanya serba cukup.
Syukur Dapat Berpuasa
Alhamdulillah..syukur kita dapat berpuasa sebulan di bulan Ramadan. Berlalunya Ramadan bukanlah bermaksud kita perlu terlalu gembira di Hari Raya. Ramadan mengajar kita pelbagai pengajaran terutama kesabaran. Kita boleh teruskan pengajaran tersebut di sebelas bulan yang mendatang atau sia-siakan apa yang sudah kita lalui.
Walaubagaimanapun aku pasti korang sudah pun merindui Ramadan. Segala amalam yang kita lakukan di bulan ini amatlah penting dan pahalanya tidak mungkin sama seperti bulan-bulan yang lain. Semoga semua amalan yang kita lakukan di bulan Ramadan diterima oleh Allah SWT.
Ada Yang Bersedih
Aku pasti dalam kita bergembira di Aidilfitri ini, ramai manusia yang sedang bersedih. Jika ada di antara keluarga atau sahabat korang yang bersedih, berilah sokongan moral dan bantuan jika mampu. Mungkin dengan sokongan itu, mereka lebih gembira dan akan kekal bersemangat dalam hidup.
Sambutlah hari raya ini dengan penuh kesyukuran dan rapatkanlah silaturahim di antara kita manusia terutama kaum keluarga dan sanak saudara. Semoga hidup kita lebih bermakna di akhirat nanti kerana di situlah kekalnya alam yang abadi.
تقبل الله منا ومنكم
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.